Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Serasa
SERASA, Sabtu, 11 Julai. - Majlis Perundingan Mukim (MPM) Serasa meneruskan usaha kebajikan menerusi Program Jalinan Kasih dengan menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan di Mukim Serasa, baru-baru ini.
Program berkenaan diketuai oleh Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara, Awang Zulkarnain bin Haji Ibrahim, bersama rombongan Ahli-ahli MPM Serasa.
Dalam program tersebut, MPM Serasa menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asasi dan keperluan harian kepada keluarga Dayang Wasti binti Kasti, yang mempunyai lima orang anak yang masih di bawah tanggungannya.
Menurut Awang Saiful Adli bin Ali Hassan selaku Pengerusi MPM Serasa dan Penghulu Mukim Serasa, program seumpama itu akan terus dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang memerlukan di mukim berkenaan.
Beliau turut berharap usaha berterusan itu dapat mengukuhkan semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat, selaras dengan slogan Mukim Serasa, 'Perpaduan Pemangkin Keharmonian'.